Aku baru balik dari pejabat selepas hampir separuh hari berdepan dengan masalah CTR/CPM yang selalu buat aku mencarut, Power Editor dan macam-macam lagi yang aku rasa ada kaitan dengan makhluk asing. Aku rasa macam hari ini hari yang aku perlu habiskan sesuatu supaya aku tak akan ingat lagi tentang esok dan seterusnya.
Perut aku lapar, aku langsung tak jamah apa-apa sejak semalam.
Aku singgah di mamak yang dekat dengan pejabat aku. Ya aku perlu ke pejabat sebab kawan aku mahu
berjumpa dengan aku hari ini jugak. Mungkin esok dia mahu berhijrah ke planet lain
sebab itu dia mahu berjumpa aku hari ini. Entahlah
Aku duduk di meja yang
agak kebelakang sebab di situ aku boleh menonton siaran Astro dengan jelas.
Kemudian ada seorang lelaki melayu datang ke meja aku. Ya, lelaki melayu,
Ini kali pertama aku berjumpa dengan lelaki melayu yang bekerja di kedai mamak.
Lelaki tadi datang bersama nota kecil di tangan mahu ambil apa yang aku
mahu makan/minum. Sebenarnya tak perlu nota pun sebab tak susah nak
ingat menu aku dan aku yakin yang lelaki itu pun rasa bodoh sebab dia
tak tulis pun apa menu aku.
Lelaki ini ambil menu aku dan beredar. Sementara menunggu makanan aku
sampai, aku menonton Astro, tapi kurang menarik sebab gelagat lelaki
tadi semakin lama semakin menarik minat aku untuk menontonnya.
Ada satu
keluarga masuk dan aku lihat lelaki tadi dengan penuh sabar melayan karenah pelanggan
itu bersama anak-anak si pelanggan yang tak habis-habis minta makanan
Itali di kedai mamak. Kalau kamu mahu makanan Itali, sila Google Pizza Hut atau Domino wahai
budak atau suruh mak kamu masak sebab ini kedai mamak.
Kemudian ada satu
kumpulan lelaki (Kaki MLM mungkin) yang minta bil dan aku
lihat lelaki tadi dengan penuh senyuman menuju ke meja kumpulan lelaki
tadi dan menulis sesuatu di notanya. Kemudian lepas lelaki tadi
beredar, aku dengar gelak ketawa dari kumpulan lelaki tadi dan ini
menjengkelkan aku. Aku rasa macam mahu bangun dan hempuk kepala mereka
dengan kerusi, atau kuali atau sekurang-kurangnya ludah ke muka mereka.
Lelaki itu terus menyambung
kerjanya melayan semua pelanggan dengan penuh senyuman dan aku semakin kagum
dengan dia.
Okay, lupakan tentang lelaki tadi, apa yang membuatkan aku kagum ialah,
dia masih disitu dan terus disitu, senyum dan menghabiskan kerjanya
tanpa ada rasa jengkel/marah/meluat pada sesiapa walaupun kumpulan kaki
MLM tadi seperti ketawa padanya.
Dan kemudian aku lihat aku dalam diri lelaki
tadi, aku lihat di mana tempat aku dan di mana tempat lelaki itu berada
sekarang. Aku pernah dihina,
dan itu menjatuhkan aku. Aku pernah dicerca, dan itu
membuatkan aku rasa macam mahu bunuh diri terjun dari tingkat 17 tanpa
payung terjun. Aku dihina, dan itu membuatkan aku rasa seperti aku lelaki yang hidup sebagai perempuan dan
bekerja di lorong Haji Taib.
Semuanya menjatuhkan aku hanya kerana
aku pernah dihina.
Aku bandingkan diri aku dengan lelaki tadi, dia masih
disitu walaupun diperlekehkan dan terus disitu dan senyum. Dia tak
mungkin ada disitu kalau dia beruntung macam aku. Mungkin dia sedang
bersenang-lenang dirumah sambil menonton Astro ataupun sedang bercuti di Panama
kalau dia beruntung macam aku.
Tapi tidak, dan dia masih senyum
walaupun dia tak punya apa-apa. Aku yakin yang aku dan dia sama cuma aku
ada apa yang dia tak ada tapi aku tak ada keyakinan diri yang dia ada.
Dan begitu juga dengan kamu wahai jururawat comel yang sedang membaca blog aku (Kamu tahu siapa kamu). Pedulikan apa yang orang lain katakan tentang kamu. Pedulikan sekiranya kamu pernah digelar dengan bermacam-macam gelaran oleh orang di sekeliling kamu. Pedulikan jika bekas teman lelaki kamu pernah menggelarkan kamu perempuan murahan atau betina atau apa sahaja yang sinonim dengan itu. Pedulikan semuanya kerana mereka bukan kamu.
Mereka telah kehilangan kamu. Mereka bodoh kerana meninggalkan kamu. Mereka bodoh kerana tidak mempertahankan kamu. Dan jika aku di pihak mereka, aku akan bermati-matian mempertahankan kamu. Diri kamu lebih berharga dari itu, dan kamu berhak untuk memiliki kehidupan yang jauh lebih bagus untuk kamu, untuk masa depan kamu. Jadi, jangan sesekali kamu jatuh hanya disebabkan mereka pernah menghina kamu.
Lupakan kisah silam kamu dan cari kehidupan yang kamu inginkan. Tunjukkan kepada mereka siapa kamu, sesungguhnya masih ada ramai yang di belakang kamu, yang sentiasa akan menyokong kamu dari mereka yang gemar menjatuhkan kamu. Aku yakin kamu boleh wahai si jururawat comel.
Okay, kita kembali ke cerita lelaki tadi.
Aku tenung wajah lelaki tadi dalam-dalam, aku rasa macam mahu bawa lelaki itu dan belajar tentang keyakinan
darinya. Tak apa kalau dia tak mahu belajar apa-apa dari aku.
Tapi aku perlu keyakinan seperti yang dia ada. Dan akhirnya aku cuma
mampu senyum kembali padanya dan melihat jelas senyuman dia pada aku.
Aku lihat senyuman yang ikhlas di wajahnya.
Aku berharap agar dia akan
terus melangkah walaupun realitinya tanpa sebelah kaki, terus senyum
walaupun tanpa sebutan yang jelas dan tersekat-sekat, terus bekerja dan
menghabiskan kerjanya. Dan aku harap aku akan jadi seperti dia dan tak
perlu rasa jatuh hanya disebabkan kamu semua.